Kaedah Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia

Bismillah. Kaedah Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia banyak terpengaruh.

Apabila usia semakin tua ini, semakin saya memahami mengapa banyak aktiviti yang tiada di dalam sunnah ataupun ajaran Islam dilakukan sewaktu raya di Malaysia. Apabila disemak, adalah antara puncanya kita mempunyai beberapa perayaan mengikut agama lain yang menjadi contoh. Di mana cara perayaan orang Kristian, Cina dan Orang hindu.

Kita dapat lihat dalam ketiga-tiga perayaan, masyarakat mereka memakai baju baru. Berbeza dengan apa yang diberitahu kepada saya (betulkan sekiranya maklumat itu salah) bahawa, Sunnah di dalam Islam, supaya memakai pakaian terbaik yang kita miliki. Jadi ianya tidak semestinya pergi beli yang baru.

Tiada sunnah memberi duit raya pada pagi hari raya. Aktiviti ini ditiru dari budaya orang Cina yang memberi Angpow pada hari raya. Tidak haram meniru aktiviti ini, kerana memberi hadiah duit itu juga mendapat pahala, apabila kita niat ikhlas. Sebaliknya sekiranya niat kerana nanti apa kata orang lain...

Mereka menghias rumah mereka, saya tidak mengetahui sama ada mana-mana hadis yang mengatakan perlu menghias rumah di hari raya Aidil fitri. Ini juga adalah tempias perayaan orang beragama lain.

Kebanyakan mereka terutama golongan berbangsa Cina memandu kereta yang baru pada tahun baru, sekiranya mereka mampu. Budaya ini juga sudah menular di kalangan orang Islam, di mana banyak staf JPJ yang susah untuk dapat cuti kerana terpaksa bekerja sehingga hampir dengan raya, kerana permohonan pembelian kereta, pertukaran kereta banyak dilakukan di musim perayaan.

Disebabkan bulan Ramadhan itu tiada di dalam kepercayaan agama lain, itu yang menyebabkan ada segelintir umat Islam yang membiarkan ianya berlalu. Asalkan hari raya datang awal. Ada ustaz yang menyebut "Mohon maaf, saya tidak mahu terencat akal mengucapkan selamat hari raya di bulan Ramadhan ini"

Terdapat perbezaan umpama langit dan bumi antara perayaan mengikut sunnah dan perayaan mengikut adat dan budaya juga agama lain.

Sehingga menyebabkan Aidil Fitri menjadi lebih hebat berbanding Aidul Adha. Sedangkan takbir raya hanya bergema selama 1 hari di hari raya Aidil fitri, manakala 3 hari pada hari raya Aidil Adha.

Kata tok siak "Hanya Jauhari Mengenal Manikam"

Kata Tok Imam "Hanya orang-orang yang betul-betul memahami dan mendalami sunnah dan ajaran agama Islam mengenal yang mana ajaran Islam dan mana yang disalin dari ajaran ataupun amalan orang bukan Islam"

Ramadhan itu adalah bulan tarbiah untuk kita mengenal yang mana satu permata dan kaca, Insyaa Allah.

Astaghfirullah. Wallahu'alam.

Shamsuddin Kadir

Comments

Popular Posts