Seni Pembuatan Keris

pix_topright
MEWARISI kebolehan membuat keris bukanlah satu seni yang ada pada setiap orang.
Kesungguhan kerana i­ngin memelihara dan memartabatkan seni warisan Melayu membuatkan se­orang orang kelainan upaya (OKU) aktif membuat keris dan barangan purba.
Zulkifli Wahab, mula berkecimpung dalam seni membuat keris sejak 15 tahun lalu dengan berbekal­kan minat dalam bidang kesenian. Dia berminat dalam bidang pembuatan keris dan barangan purba seperti keris, pisau, sarung keris, sarung pisau dan sarung badik serta ukiran halus.
Foto
FotoFoto
“Pembuatan keris adalah satu seni yang sukar dipelajari dan jarang orang Melayu terutama generasi muda berminat menceburi bidang pembuatan keris. Sejak menceburkan diri dalam pembuatan kraf purba, saya dapati kraf seni berkenaan adalah satu warisan yang ditinggalkan orang seni terdahulu untuk diwarisi. Jika dilihat pada keris ini, terdapat hasil ukiran bagi menggambarkan sejarah dulu,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor.
Bukan saja disebabkan minat yang mendalam dalam pembuatan seni keris, Zulkifli juga mempunyai sebab tersendiri. Dia pernah mengalami kemalangan pada 1998 di Mersing. Akibatnya, kenderaan yang terbabas itu me­nyebabkan dia lumpuh daripada pinggang ke bawah. Justeru, tidak mempu­nyai sumber kewangan untuk menampung keluarga, pesara tentera ini mengambil inisiatif membuka sebuah bengkel pertukangan pisau, parang dan keris. Dia menerima pendidikan asas dalam pertuka­ngan ini daripada kenalannya, Rusdi Yusof selama dua bulan.
“Namun, ada juga yang mempelajarinya selama bertahun-tahun sebelum mahir. Tanpa minat, fokus dan usaha yang gigih sukar mempelajari segala ketelitian yang perlu disematkan untuk menghasilkan pembuatan yang bermutu dan bernilai,” katanya.
Turut dikenali sebagai Zul Purba, setakat ini dia menghasilkan pelbagai jenis keris dan pisau. “Selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang pembuatan besi, saya menghasil­kan lebih 1,000 keris hasil tangan seni sendiri. Pelbagai bentuk dihasil­kan dan dijual dengan harga yang berpatutan. Tempahan yang diterima juga amat menggalakkan terutama daripada peminat keris,” ujarnya.
Menurut Zul, keris bukan saja sebagai lambang kemegahan, malah mewakili seni warisan yang amat bernilai terutama sewaktu digunakan sebagai senjata pada zaman dahulu kala.
“Suatu masa dulu, perwira kita berperang dengan menggunakan keris malah diiktiraf sebagai perwira kerana ketangkasan bermain keris. Peralatan yang hebat suatu masa dulu ini seharusnya dibela, dijaga dan dikembangkan pembuatannya sebagai usaha menghargai warisan yang ditinggalkan nenek moyang,” katanya.
Mengimbau pengalaman lalu, pemilik kepada Zul Kraf Purba Warisan Seni Warisan Halus Tradisional ini, berasa agak kekok sewaktu mula menceburi bidang pembuatan keris ini. “Setiap pekerjaan memerlukan komitmen yang tinggi, begitu juga de­ngan tanggungjawab yang saya pikul untuk menghasilkan keris kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran mendalam. Ada kalanya, untuk membuat sebilah keris, ia memakan masa yang agak lama sehingga lebih tiga minggu kerana memerlukan kerja percantuman besi antara tujuh hingga ke lapan besi,” katanya.
Selain itu, pembuatan keris turut bergantung pada permintaan pelanggan yang mahukan saiz dan bentuk hulu yang berlainan, menarik dan unik. Tempahan sedemikian memakan masa yang lama antara dua bulan kerana permintaan pelanggan ada kalanya bersifat khusus.
Justeru, ia perlu dilakukan dengan baik, berhati-hati dan penuh harapan agar hasil pembuatannya dihargai dan pelanggan berpuas hati. Bercakap mengenai hulu keris, Zul mampu menghasilkan pelbagai bentuk dan ukiran menarik.
“Antara bentuk yang dihasilkan termasuk Hulu Jawa Deman di mana reka bentuknya berasal dari Indonesia, Kake Pusaka rekaan dari Terengganu dan Gajah Mina. Semua bentuk hulu keris ini mempunyai maksudnya tersendiri dan kita perlu tahu sejarah, latar belakang dan kegunaan setiap keris sama ada yang diperoleh atau ditempah,” jelasnya.
Keris seperti Malela, Anak Alang, Pandai Sarah, Pandai Mamat, Pukal dan Bugis antara keris yang sering ditempah dan mempunyai peminatnya tersendiri. Selain keris, Zulkifli turut arif menghasilkan pisau seperti pisau daging, pisau lapah dan pisau penyembelihan.
Baginya, ilmu yang dimiliki itu boleh dikongsi de­ngan sesiapa saja yang berminat untuk mempvelajari cara membuat keris, malah dia mengajarnya secara percuma kerana ia adalah warisan dahulu kala masyarakat Melayu dan perlu diperkenal dan diturunkan ilmu itu kepada generasi akan datang.
Tambahnya lagi, kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari ilmu menghasilkan pisau dan keris, dialu-alukan untuk datang ke bengkelnya. “Saya tidak mengenakan sebarang bayaran cuma berharap mereka yang datang itu mempunyai minat yang tinggi dan sanggup bersusah payah untuk belajar. Inilah warisan senjata yang ditinggalkan panglima kita dahulu kala dan lambang kekuatan bangsa Melayu kita,” katanya.
Hubungi Zulkifli di talian 014-538 9764 jika anda ingin maklumat lanjut mengenai seni membuat keris.
PROFIL:
Nama: Zulkifli Wahab
Umur: 41
Anak: Seorang lelaki, dua perempuan
Pasangan: Noraziah Mohd Nasir
Umur: 38
Alamat: RS 12, Jalan Hj Gomri, Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor
Telefon: 019 764 4573
l Harga sebilah keris antara RM1,000 hingga RM5,500 manakala parang antara RM800 hingga RM1,500 dan bergantung kepada permintaan pengguna.

Comments

Popular Posts