Anak bekas PM Pakistan kena culik
Multan: Sekumpulan penyerang bersenjata semalam menculik seorang anak lelaki bekas Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani. Kejadian berlaku selepas pergerakan Taliban berikrar menggunakan pengebom bagi melakukan serangan ketika pilihan raya berlangsung pada 11 Mei.
Diculik selepas ditembak
Ali Haider Gilani diculik selepas tembakan dilepaskan di bandar Multan, Punjab. Setiausahanya maut dan lima lagi cedera termasuk seorang pengawal peribadinya, kata polis.
Penyerang menaiki motosikal. Ada juga berada dalam kereta Honda gelap dan melepaskan tembakan sebelum menculik Ali Haider," kata pegawai polis, Khurram Shakur kepada wartawan.
Keluarga bekas Perdana Menteri itu adalah antara yang paling berpengaruh di Multan dan puak utama dalam Parti Rakyat Pakistan (PPP).
Dapat mandat baru
Kempen pilihan raya parti itu untuk mendapat mandat baru dilaporkan terjejas disebabkan ancaman Taliban. Militan itu menganggap pilihan raya yang bakal berlangsung sebagai bercanggah dengan Islam.
Mereka juga mendakwa akan menghantar sekumpulan pengebom bunuh diri pada hari pengundian, esok.
Belum ada pihak mendakwa bertanggungjawab atas penculikan Ali Haider, calon dewan undangan negeri PPP manakala dua lagi abangnya turut bertanding bagi kerusi Parlimen. Bapa mereka diputuskan tidak layak bertanding selepas dipecat dan didapati bersalah oleh Mahkamah Agung tahun lalu kerana enggan membuka kes rasuah terhadap presiden Asif Ali Zardari.
AFP
Comments
Post a Comment