Enggan dikaitkan dengan Ashraf Muslim

DIA baru sahaja mahu memulakan langkah di bidang lakonan selepas dua setengah tahun meninggalkannya kerana mencuba nasib di awan biru sebagai pramugari Qatar Airways, Sherry Ibrahim kini terpaksa berdepan dengan kontroversi.

Pelakon drama Renjis yang kelihatan semakin cantik itu dikaitkan semula dengan bekas teman lelakinya, Ashraf Muslim.

Sebelum kemunculan nama Sakinah yang mendakwa dirinya bakal mengahwini Ashraf yang kemudian dinafikan aktor kacak tersebut, ada beberapa pihak yang mengaitkan Sherry dengan isu panas itu baru-baru ini.

Kesemuanya adalah ekoran Ashraf yang didakwa bakal berkahwin lain dengan keizinan isterinya, Noor Dayana Lokman, 26.

Kosmo! menjadi akhbar pertama yang meraih respons daripada Ashraf iaitu pada 7 Mei lalu yang mana dia enggan mengulas tentang perkara itu tetapi mengakui rumah tangganya ada isu berbangkit.

Meminta Sherry mengulas mengenai perkara itu ketika dia ditemui pada majlis pelancaran drama Teduhan Kasih di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Sherry berharap agar namanya tidak lagi dikaitkan dengan Ashraf.

Luahnya, sejak putus cinta dengan Ashraf, 32, kira-kira empat tahun lalu, dia tidak pernah berhubung lagi dengan Ashraf

"Sejak berpisah dengan dia (Ashraf) sekitar 2009, kami tidak pernah berhubung lagi. Semuanya sudah berlalu. Walaupun ramai yang kata saya pergi kerana kecewa, itu semua tidak benar. Saya tidak keluarkan apa-apa kenyataan.

"Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai gosip Ashraf itu. Sebabnya, saya tidak berapa suka baca gosip-gosip dalam media. Saya pun tidak tahu sudah tiga tahun dia berkahwin. Rasa macam dia baru kahwin sahaja," ungkapnya tentang Ashraf yang telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30 Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi itu.

Melanjutkan kata-kata yang lebih matang dari bibirnya, dia memberitahu, ia adalah hak Ashraf untuk berkahwin lagi kerana orang luar tidak tahu mengenai hal sebenar rumah tangga mereka.

SHERRY merupakan pelakon utama wanita drama bersiri, Teduhan Kasih dan dia berpeluang bergandingan dengan Adi Putra.

Kekasih baharu

Sudah mempunyai kehidupan sendiri, Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, juga mendedahkan, dia kini sudah mempunyai kekasih.

Kekasihnya itu merupakan seorang lelaki Mauritius yang dikenalinya ketika bertugas sebagai pramugari sejak setahun lalu di syarikat penerbangan Qatar Airways.

"Saya sudah ada kekasih dan kami telah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu. Kami kenal ketika saya menetap di Doha," ujarnya yang enggan mendedahkan nama lelaki itu dan cukup sekadar orang tahu dia sudah berpunya.

Tambah Sherry, buat masa ini dia belum terfikir dan merancang untuk berumah tangga.

Mengakui kontrak perkhidmatannya sebagai pramugari Qatar Airways tamat sejak Mei tahun lalu, ujar Sherry, dia mendapat tawaran untuk melanjutkan kontrak tersebut tetapi dia menolaknya kerana ingin pulang ke Malaysia dan berehat panjang.

Ceritanya lagi, kembalinya semula ke dunia lakonan bukan atas kehendaknya tetapi rezeki yang tiba-tiba datang bergolek.

"Saya mula berlakon menerusi drama Setia Hujung Nyawa tetapi watak saya tidak banyak. Drama kedua lakonan saya iaitu Teduhan Kasih baru menguji kredibiliti sebagai pelakon," ujarnya yang membawa watak utama wanita di samping Adi Putra dan Shah Iskandar.

Mengulas mengenai wataknya dalam drama tersebut, Sherry mengakui dirinya agak gementar berhadapan dengan lensa kamera pada awal sesi penggambaran.

"Perasaan gugup itu memang tidak dapat saya elakkan tambahan pula saya diberi watak besar. Empat hari permulaan penggambaran saya akui tidak tahu memberi ekspresi pada watak Iffa.

"Saya akui masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam lakonan saya dan mengharapkan lakonan kali ini akan diterima baik penonton," katanya yang mula berlakon sejak tahun 2006 dan kemudiannya menjadi pramugari pada tahun 2010.

Comments

Popular Posts