Isteri Degil

Mohon jasa baik Dr untuk memberikan pendapat terhadap masalah saya yang mempunyai isteri bertugas di sebuah jabatan kerajaan. Isteri selalu dipanggil oleh ketuanya untuk ke pejabat pada Sabtu atau Ahad. Kadangkala dia ajak saya menemaninya, namun selalunya tanpa pengetahuan dan keizinan saya.
Tugasnya juga selalu keluar kawasan tanpa ditemani mahram (suami) manakala tempat kerja lebih ramai lelaki berbanding perempuan. Bertugas pula sambil bergurau dan bersembang yang bukan-bukan. Di sini saya ingin bertanya kepada siapakah yang patut saya adukan perkara ini memandangkan tempat kerja isteri selalu didatangi lelaki dan diajak berbual yang bukan berkaitan urusan pekerjaan?
Saya selalu berpesan kepadanya yang seorang isteri sepatutnya bekerja mengikut syarak, tetapi dia tidak mengendahkan manakala ketuanya tidak pernah ambil peduli.
Justeru, saya mohon jasa baik Dr untuk memberikan pendapat dan cadangan agar dapat saya menasihati isteri yang selalu melenting ketika diberikan nasihat. Malah, dapatlah kiranya Dr memberitahu saya tempat untuk adukan perkara ini.
Untuk pengetahuan Dr, isteri saya boleh menimbulkan fitnah di tempat kerja. Saya sudah menasihatinya supaya berhenti, tetapi dia tidak mahu dan meminta cerai jika saya menyuruhnya berhenti kerja.
Suami terpinggir
Kuala Lumpur
Sebagai seorang suami anda bertanggungjawab menanggung nafkah kepada isteri dan anak. Anda juga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak mematuhi suruhan serta menjauhi larangan agama.  Mana-mana suami dan ayah yang membiarkan isteri serta anak melakukan perkara haram dikira sebagai suami atau ayah yang dayus iaitu bersifat hina dan keji. Seterusnya tanggungjawab isteri adalah mentaati suami dan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.
Apabila seseorang isteri tidak lagi mentaati suami sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga, dia dikira nusyuz (menderhaka).  Begitu juga jika isteri tidak lagi mahu mendengar nasihat suami sehingga sanggup meminta cerai.
Islam mengajar beberapa tindakan, antaranya suami perlu bersabar buat sementara dan mengambil tindakan menasihati isteri supaya kembali taat. Jika isteri masih tidak taat, suami boleh memulaukan isteri dengan tidak tidur bersama. Seterusnya suami boleh mengambil tindakan memukul isteri secara baik iaitu dengan tujuan mengajar dan tidak sampai mencederakannya. Memukul itu seperti mengajar anak dengan tujuan mendidik.
Terdapat juga isteri yang boleh diubah perangainya apabila tindakan sedemikian diambil. Dalam hal ini, al-Quran menegaskan kepada kita, maksudnya:
“Lelaki adalah pemimpin bagi wanita kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana lelaki membelanjakan daripada harta mereka. Maka wanita yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama dengan pemeliharaan Allah. Dan wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka, pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Sekiranya gagal, dapatkanlah bantuan keluarga bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga anda. Jika kedua-dua pasangan memilih jalan perdamaian, rumah tangga akan kembali aman dan bahagia. Namun, jika tidak, perceraian adalah proses terakhir dan itulah sebaik-baiknya kerana sebab yang berlaku di atas. Perkara sedemikian memang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW bersama semua isteri baginda.
Al-Quran mengajar Rasulullah bagaimana berdepan dengan isteri. Allah berfirman dengan maksudnya:
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepada kamu mut’ah dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu mahukan keredaan Allah dan Rasul-Nya serta kemewahan di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar. Wahai isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 28-30)
Ambillah pengajaran ayat di atas dalam menangani masalah rumah tangga anda. Penyelesaian perlu dibuat supaya rumah tangga menjadi aman. Begitu juga jika isteri berterusan menderhaka kepada suami, tindakan tegas sehingga kepada perceraian perlu diambil kerana dikhuatiri bersubahat dengan dosa yang dilakukan wanita berkenaan.

Comments

Popular Posts