Lemang
Hari Raya bakal menjelang beberapa hari saja lagi.Pastinya sudah ramai yang sudah bersiap-sedia menyiapkan beberapa menu wajib seperti lemang , ketupat dan dodol.Untuk pengetahuan blogger semua , lemang merupakan menu wajib bagi kami sekeluarga pabila tibanya Hari Raya.Ini bermakna , kami adik beradik akan bergotong-royong menyiapkan menu istimewa ini.Untuk mencari buluh tidak susah kerana abah kami sudah menanam pokok buluh dibelakang rumah kami di kampung.
Hari ini , saya akan berkongsi dengan anda semua cara-cara membuat lemang.Manalah tahu , tahun depan anda semua boleh mencubanya.Membuat lemang tidak susah mana pun.Sambil buat lemang pun boleh bertwitter ataupun ber’facebook.
Di kampung, buluh lemang boleh dicari di hutan belukar,ladang getah atau di tepi sungai.Bukan semua buluh boleh dijadikan buluh lemang. Hanya buluh yang tidak terlalu tebal ataupun nipis dengan saiz diameter yang sederhana sahaja. Buluh yang nipis akan pecah apabila dihentak (sewaktu proses membakar) dan yang terlalu tebal akan menyebabkan lemang lambat masak.Jadi,buluh yg terbaik untuk membuat lemang adalah buluh yg tidak terlampau tua.
Buluh lemang yang terpilih akan dibersihkan dari debu miangnya dengan menggunakan sabut kelapa.
Kemudian , daun pisang muda digunakan untuk mengalas buluh lemang.Ia bertujuan untuk menaikkan aroma beras pulut yang dugunakan.
Gulung daun pisang mengikut saiz buluh yang telah potong mengikut ruasnya. Kemudian masukkan daun tersebut menggunakan batang pelepah pisang yang telah dibelah dua (buatkan seperti penyepit). Sepit daun pisang yang sudah digulung dan masukkan ke dalam buluh. Sebelum masukkan daun yang bergulung itu, sumbat dahulu pangkal buluh tersebut (pada bahagian ruasnya) dengan daun pisang yang dikeronyok. Tujuannya supaya lemang di bahagian hujung tidak kotor terkena buluh. Oleh itu, semua bahagian boleh dimakan kelak.
Beras pulut dan santan yang sudah direndam (dan digaram) bolehlah dimasukkan ke dalam batang buluh. Beras pulutnya dimasukkan sekitar 3/4 daripada buluh. Kemudian, masukkan baki santan sehingga ke paras yang sama. Sambil masukkan beras pulutnya, hentak sedikit-sedikit (perlahan-lahan) supaya ruang kosong di dalam buluh dalam diisi dengan baik. Usah hentak terlalu kuat bimbang nanti pulut tiada ruang untuk mengembang sewaktu proses membakar.
Sementara beras pulut dan santan diisi, tempat membakar lemang perlu disiapkan terlebih dahulu.Dua pancang besi ditegakkan di kiri dan kanan (bergantung kepada berapa banyak lemang yang akan dibakar). Pastikan ada satu besi yang melintang di bahagian tengah sebagai tempat lemang bersandar.
Apabila tempat membakar lemang telah siap, hidupkan api dan lemang sedia untuk dibakar.Apa yang penting semasa proses membakar lemang adalah proses mengawal api suapaya supaya lemang tidak hangus. Jika mahu cepat masak, api boleh besar tetapi harus rajin pusing-pusingkan lemang supaya masaknya rata.Anda harus pandai bagaimana hendak mengawal api tersebut.
Setelah lemang mendidih dan berbuih-buih ( santan menggelegak), boleh dihentakkan lemang supaya menjadi padat. Lemang yang tidak padat tidak akan nampak menyelerakan.
Apabila buluh lemang mula layu dan setelah dibakar sekian lama (lama proses pembakaran bergantung kepada besar/kecil ataupun jauh/dekat api), lemang pun masak.
Sesudah itu, bolehlah lemang dibelah dan dinikmati bersama-sama rendang.Lemang telah sedia untuk dihidang di pagi Aidilfitri.
Comments
Post a Comment