Status Kahwin Ketika Hamil
Saya terbaca satu artikel mengenai pasangan pernah zina tetapi kini sudah berkahwin. Benarkah perkahwinan wanita hamil anak luar nikah bersama lelaki yang terlanjur dengannya tidak sah jika wanita itu belum melahirkan anak dikandungnya?
Sekiranya mereka bernikah, adakah anak yang lahir hasil pernikahan itu juga dikira sebagai anak tidak sah taraf?
Jika perkahwinan itu tidak sah dan saya mengenali seseorang dalam keadaan ini, bagaimanakah cara untuk saya memberitahunya kerana saya masih muda?
Jika saya mendiamkan diri, berdosakah saya kerana ia tanggungjawab sesama Islam?
AINON, Ampang, Selangor
Hukum berkahwin dengan perempuan yang sedang mengandung hasil perbuatan zina pada pendapat Mazhab Syafie dan Hanafi, adalah sah kerana perempuan yang berzina tiada idah sebagaimana idah pada pernikahan yang sah.
Bagaimanapun, haram bagi pasangan itu bersetubuh selagi tidak melahirkan anak berkenaan berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain (iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi).
Status anaknya tetap luar nikah, tidak boleh dinasabkan kepada bapanya, tiada hak pusaka, walinya pula hakim dan tidak menjadi mahram dalam keluarga.
Oleh itu, dinasihatkan supaya jangan malu mengaku salah dan selesaikan dengan segera.
Janganlah sebab dosa yang satu mengakibatkan dosa yang berpanjangan sampai hari kiamat. Yakinkan mereka supaya merujuk kepada ustaz atau yang berkuasa untuk memberi nasihat.
Nasihatilah mereka dengan sebaik-baiknya dan serahkah urusan lain kepada Allah SWT.
Sebagai Muslim, kita perlu nasihat secara terus atau minta bantuan supaya nasihat itu sampai kepada mereka. Begitupun tidak diberatkan mengubah mereka kerana Allah SWT jua yang memberikan hidayah.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:43 AM
Comments
Post a Comment