Aku Benci TGNA

Benciku Pada Tok Guru



Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera pada teman-teman dialam maya sekalian. Sebelum kamu membenci diri ini, mohon baca terlebih dahulu kerana aku sekadar COPY & PASTE article ini .


Apa khabar anda semua? Semoga masih diberikan kesihatan disamping keluarga tercinta.



Sungguh sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam nota alam maya ini. Mungkin anda semua terkejut bukan kerana tajuk nota yang saya kongsikan kali ini begitu hangat sesuai dengan hangatnya gelombang Pilihan Raya Umum yang ke 13 negara kita.



Saudaraku sekalian, memang benar sungguh saya pernah membenci Tok Guru Nik Aziz pada tujuh tahun yang lampau. Kenapa agaknya saya membenci beliau? Kerana pada ketika itu, saya baru berusia belasan tahun dan makanan media kami hanyalah media arus perdana.



Setiap hari kami diinduksikan dengan bahan-bahan berita keburukan beliau, keburukan Parti Islam Semelaysia (PAS) dan kemunduran negeri Kelantan. Saya masih ingat lagi ketika saya mempersendakan gaya Tok Guru di kelas bersama teman-teman sekelas dan mereka bergelak ketawa.



Namun begitu, Allah takdirkan ketika saya menyambung pelajar diperingkat pengajian tinggi saya menerima tawaran belajar itu di negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Kelantan. Pada ketika itu semua saudara mara yang rapat dengan saya mengingatkan agar berhati-hati disana kerana itu negeri pembangkang.



Bila sebut negeri Kelantan, semua ada persepsi negatif kerana telah diolah kotak minda kami untuk mencurahkan rasa benci pada pimpinan dan negeri pembangkang itu.



Subhanallah.



Begitu hebat susunan Allah swt keatas diriku ini. Ingin sekali saya kongsikan pengalaman saya belajar di negeri pembangkang itu.



Hari pertama saya menjejakkan kaki disana sekitar pukul 5 pagi kerana kami baru tiba menaiki bas dari Kuala Lumpur, beg sandang saya mengandungi wang bernilai RM 1000 dan semua dokumen-dokumen penting untuk urusan sambung belajar tertinggal di stesen bas. Saya hanya menyedari beg sandang saya tidak ada pada pukul 9 pagi pada ketika saya sudah berada di asrama.



Segera saya meminta bantuan warden asrama untuk menghantarkan saya ke stesen bas itu agar saya mencari beg itu. Saya cukup bimbang kerana semua benda penting dan duit itu adalah duit belanja saya. Masih segar lagi di ngiang telinga saya kata-kata warden saya pada ketika itu:



"Jangan bimbang beg tu takkan hilang, kerana ini negeri Kelantan"



Saya seolah tidak mengerti kenapa warden itu berkata demikian. Adakah sekadar kata-kata memujuk untuk aku agar tidak begitu risau.



Allahurabbi.



Tatkala kami tiba disana, aku melihat beg sandang yang aku letak diatas bangku stesen bas itu langsung tidak berubah kedudukannya dan seolah-olah tidak pernah diusik langsung oleh sesiapa. Sungguh luarbiasa didikan negeri pembangkang ini terlintas dibenak fikiranku dan baru saya memahami maksud kata-kata warden tadi.



Kisah yang lain, ketika aku keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan yang baru sampai dari Sabah untuk kebandar Kota Bharu. Alangkah terkejutnya kami semua bila melihat bandar Kota Bharu sebuah bandar yang maju, tidak seperti yang diwar-warkan kepada kami bahawa ia bandar yang mundur. Bahkan saya melihat ia lebih maju dari daerahku sendiri.



Bila kami perhati semua papan-papan iklan (Signboard) yang ada di Kota Bharu, apabila ia melibatkan gambar wanita pasti ia memakai tudung. Aku pernah melihat, seorang wanita orang putih memakai tudung disebuah iklan. Inilah didikan Tok Guru untuk masyarakatnya.



Demikian juga aku melihat papan tanda perniagaan di mana-mana hatta ia dimiliki oleh orang cina pun pasti ada tulisan jawi pada setiap papan tanda itu. Sungguh perjuangan mereka sampai kepada semua masyarakat tanpa mengira perbezaan fahaman agama.



Pada ketika aku dan teman-teman berjalan di sekitar pasar tamu di berhampiran pasar Siti Khadijah berlaku lagi suasana yang baru saya temui. Saat itu berkumandang azan asar, kami melihat segenap peniaga disekitar situ terus laksana meninggalkan perniagaan masing-masing tanpa menutup perniagaan mereka untuk solat. Subhanallah. Begitu tinggi keyakinan mereka dalam menjaga hak-hak Allah, pasti Allah menjaga hak-hak mereka.



Selama mana saya belajar di Kelantan tidak pernah sekali pun aku temukan papan-papan iklan yang menyebarkan iklan minuman-minuman arak dan sebagainya. Selama itu juga tidak pernah sekalipun saya temui pusat-pusat hiburan seperti karaoke dan pawagam. Sungguh aneh bagiku kerana benda itu tidak asing bagi kami di Sabah.



Bila menyebut Tok Guru, akhirnya saya bersua muka juga dengan Tok Guru. Pada ketika itu, ada seorang teman belajar mengajak saya ke medan ilmu katanya di Kota Bharu pada pagi jumaat. Saya pun ikut dan pergi kemedan ilmu itu, suasananya sungguh luar biasa. Kami terpaksa parking kereta lebih kurang 700 meter jauh dari tempat ceramah itu. Saya melihat begitu ramai orang hadir dan medan ilmu itu betul-betul terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu.



Alangkah terkejutnya saya apabila menyaksikan sendiri ribuan orang sudah sampai dan dipentas sana aku melihat sebuah susuk tubuh yang tua dan orang itu adalah Tok Guru Nik Aziz. Saya duduk mendengar ceramah beliau, dan sedikitpun saya tidak menemukan keburukan yang terkandung dalam ceramah beliau.



Itulah didikan seorang Menteri Besar Kelantan yang membudayakan ilmu pada masyakatnya. Kesannya saya memerhatikan besar atau kecil surau dan masjid-masjid yang terdapat di Kelantan pasti ada seorang Ustaz yang akan mengajarkan ilmu agama. Suasana ini tidak ada di negeriku.



Persepsi benci terhadap beliau beransur hilang. Masih lagi saya ingat saya pernah solat subuh di masjid madrasah beliau di Pulau Melaka. Saya menyaksikan begitu ramai jemaah baik dari penduduk tempatan mahupun pelajar madrasah itu datang memenuhi ruangan masjid itu. Beliau akan mengimamkan solat lima waktu di masjid itu bahkan beliau juga akan membuat pengisian ilmu disana.



Selesai solat subuh disana, saya sekali lagi berasa hairan kenapa ramai orang datang bahkan puluhan orang membawa bayi dan bertemu Tok Guru. Saya menyaksikan Tok Guru akan menggunting rambut bayi itu dan akan menyuapkan buah kurma pada bayi itu. Saya bertanya pada salah seorang sudah membawa bayi mereka untuk bergunting bersama Tok Guru.



"Kamu semua ni memang asal sini ke? Kenapa bawak bayi untuk bergunting dengan Tok Guru"



Inilah jawapan mereka:
"Tidak semua dari kami berasal dari Kelantan, malah ada yang datang dari Terengganu dan negeri-negeri lain. Kami mahu biarlah makanan pertama yang masuk kedalam mulut anak kami adalah dari tangan ulamak seperti  Tok Guru"



Allahu Rabbi. Rupanya selama ini saya membenci insan yang mulia kerana dia seorang ulamak dan dia bukan sahaja seorang menteri besar. Sungguh saya telah berdosa. Persepsi benciku itu meleset sama sekali terhadap Tok Guru. Saya difahamkan hampir setiap hari orang akan datang membawa bayi yang baru lahir untuk bergunting dengan Tok Guru.



Pernah juga saya menyaksikan disaat ada majlis besar peringkat IPT negeri Kelantan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan. Entah kenapa saya seolah terasa gembira saat Tok Guru akan tiba, sengaja saya duduk di kerusi hujung tempat laluan orang yang akan masuk kedalam dewan itu, agar saya dapat memerhatikan Tok Guru dari jarak yang dekat.



Subhanallah. Saat Tok Guru lalu betul-betul disebelah saya, saya dapat memerhatikan beliau mengenakan kasut yang popular dengan jolokan kasut kungfu. Setahu saya harganya tidak kurang dari RM 10 sahaja. Saya menyaksikan pakaiannya yang biasa dan diserasikan dengan kain pelekat dan serban pada kepalanya. Sungguh zuhudnya pemimpin bergelar Menteri Besar sepertinya.



Selama saya belajar di Kelantan, tidak ada seorang pun yang kempen untuk kepada saya perihal PAS mahupun perihal kebaikan Tok Guru. Namun, hati saya terbuka untuk mendokong mereka kerana saya menyaksikan sendiri, pemerintahan seperti inilah pemerintahan sebenar. Kalau baik pemimpin sesebuah negara itu, maka baik pula natijah kepada negara dan masyarakatnya.



Pemimpin seperti beliaulah pemimpin yang diidamkan oleh masyarakat sebenarnya. Saya sendiri menyaksikan itu semua secara realitinya, dan barulah saya sedari rupanya segala tomahan dan fitnah dimedia arus perdana itu adalah rekaan semata bahkan ianya adalah cerita menipu rakyat.



Justeru itu, hari ini begitu bersejarah bagi saya. Saya baru balik melihat ceramah perdana PAS dan pakatan rakyat di daerah saya sendiri. Sungguh saya menangis kegembiraan, kerana tanda kemenangan itu telah hadir didaerah ini.



Kalau benar mereka mentadbir negeri ini, sungguh kisah-kisah yang telah kulalui di sana pasti akan kulalui juga disini. Justeru itu, teman-teman sekalian. Kita sayangkan negara ini, marilah kita memilih pemimpin yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. In shaa Allah.



Tidak ada niat untukku berkempen dalam catatan ini. Namun, sekadar luahan hati seorang anak bangsa yang pernah membenci seorang ulamak namun kini cukup menyayangi dan mengagumi beliau. Segeralah kita membuka minda dan hati agar membuat keputusan yang terbaik dalam PRU kali ini.



Agar suatu masa nanti anak cucu cicit kita akan menerima budaya ilmu dan bukannya budaya hiburan yang melalaikan. In shaa Allah. Semoga kita semua diberikan kemenangan. Aamiiiin.



Mohon maaf andai catatan kali ini berunsur politik, namun tidak pula ingin meleraikan ukhuwah sesama muslim meskipun berbeza ideologi fahaman politik. Saya hormati prinsip anda dan saya mohon hormatilah prinsip kami yang ingin melihat negeri ini ditadbir oleh perjuangan yang membawa perubahan khususnya perjuangan negara Islam yang syumul.



Al Bakarah Ayat 208:



"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata"





sumber:http://jumatms.blogspot.com/2013/05/benciku-pada-tok-guru.html 

Kini TGNA telah meninggalkan kita semua untuk menemui tuhannya yang Maha Esa. Walaupun TGNA telah tiada lagi kerana lumrah kehidupan ini setiap yang bernyawa akan menemui kematian begitulah juga TGNA yang tidak terlepas dari hakikat ini. Walaupun TGNA telah tiada perjuangan TGNA diteruskan mestilah diteruskan oleh kitasemua dalam mengembangkan ajaran dan syiar Islam di Kelantan khusunya dan dan Malaysia amnya.

Comments

Popular Posts