‘Inilah fasa paling menyeronokkan’
Jalur populariti bukan lagi sesuatu yang mahu dikejarnya. Hakikat ini kerana selama hampir sedekad bergelar anak seni, sudah terbukti dia sudah mengecapi semua itu dan terus ada di hati masyarakat.
Penilaiannya jelas melalui pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada 2005, 2006, 2010 & 2011 serta Pelakon Filem Wanita Popular 2006 & 2007, dengan jumlah kemenangan semuanya enam trofi.
Sekali lagi, anak seni bernama Nur Fasha Sandha, 29, kembali cemerlang tahun ini apabila berjaya membolosi senarai lima calon terbaik bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH12). Ia bakal berlangsung buat julung kalinya di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 April nanti.
Berbeza dengan keinginannya dulu yang melihat kemenangan sebagai satu bonus, persepsi wanita mesra disapa Fasha terhadap sesuatu kemenangan mulai berubah malah bersedia melepaskan gelaran popular itu andai tahun ini bukan lagi menjadi miliknya.
Nur Fasha Sandha
“Terus terang dan jujur daripada hati kecil, saya tidak jangka langsung akan tercalon dalam Top 5 ABPBH kali ini. Tambahan pula, dengan berbadan dua sekarang ini, saya lebih fokus kepada menguruskan keluarga baru saya.
“Kehadiran saya pada sidang media pencalonan awal tidak lama dulu, saya sifatkan sebagai tanda sokongan kepada Berita Harian selaku penganjur anugerah.
“Pada masa akan datang kalau tidak tercalon pun, saya akan tetap memberi sokongan kepada penganjuran acara ini. Bagi saya enam anugerah yang saya miliki menerusi ABPBH sudah cukup besar dan saya berpuas hati.
“Harus saya perkatakan bahawa saya amat terhutang budi dengan ABPBH. Ternyata ia banyak membantu kerjaya artis tempatan dan disifatkan sebagai penganjuran anugerah terhebat di Malaysia.
“Mungkin ramai yang tidak mengetahui hal ini. Sebelum bergelar artis lagi, saya adalah salah seorang peminat anugerah ini. Saban tahun saya memang ternanti-nanti untuk menonton ABPBH.
“Dulu saya akan menunggu depan kaca TV dengan perasaan teruja untuk melihat Erra Fazira mengambil anugerah. Saya minat sangat dengan Erra dan sampai sekarang masih mengagumi Erra. Berbalik pada pertanyaan tadi, andai nama saya tidak lagi dicalonkan dalam ABPBH sekalipun, saya akan tetap menjadi penonton setia,” katanya.
Bakal bersaing dengan pelakon berpengalaman, Nabila Huda serta nama baru seperti Neelofa, Izara Aishah dan Siti Saleha, Fasha begitu berterima kasih kepada peminat setianya yang tidak jemu-jemu menghantar undian bagi memastikan dia mara.
“Ingin sekali saya berterima kasih kepada pembaca yang mengundi dan saya yakin mereka ini adalah peminat tegar yang begitu mempercayai bakat saya.
“Pencalonan saya sekali lagi dalam anugerah ini mungkin juga didorong ruang yang diberikan Berita Harian kepada saya sebagai pengendali kolum Cinta & Hati Hamba yang hampir enam bulan diterbitkan.
“Meskipun kebelakangan ini, tidak banyak berita dilaporkan mengenai saya atau pendek kata kurang publisiti tetapi kemunculan saya dalam ruangan itu untuk memperkatakan berbagai isu dilihat membantu saya untuk terus wujud di mata peminat,” katanya.
Ditanya mengenai kejelitaannya yang kekal menyerlah, Fasha hanya tersenyum menampakkan barisan giginya yang cantik. Dia akui pipinya semakin tembam dan kadangkala dia sendiri tertawa sendiri apabila melihat cermin.
“Inilah saat yang paling menyeronokkan dalam fasa hidup saya. Saya tidak sabar-sabar menjadi ibu. Kalau ikutkan saya akan ‘due’ atau dijangka bersalin hujung Mac atau awal April ini. Kalau sempat saya dapatlah ke ABPBH2012 nanti.
“Lagipun ia kali ini dibuat di Stadium Putra Bukit Jalil dan saya tiada masalah ke sana kerana masih dalam kawasan ibu negara,” katanya.
Tolak tawaran Osman Ali
Kata Fasha, dia dan suaminya Jejai (Rizal Ashram Ramli) sudahpun dimaklumkan doktor mengenai jantina anak mereka.
“Kami berdua sudah tahu jantina anak melalui pemeriksaan yang dilakukan baru-baru ini, tapi kami berdua belum sedia berkongsi dengan umum. Nanti tak ada ‘surprise’.
“Apa yang lebih penting bagi saya dan suami sama ada lelaki mahupun perempuan, mudah-mudahan bayi ini sempurna dan selamat dilahirkan. Persiapan seperti barangan keperluan bayi juga belum kami lakukan kerana saya percaya pada pesan orang tua-tua, selepas kandungan cecah tujuh bulan barulah sesuai kita membuat persediaan.
“Kalau ikutkan hati siapa yang tak seronok tapi dalam seronok itu pun kenalah selalu berhati-hati,” katanya yang mengambil keputusan berehat seketika dari dunia seni lakon untuk memberi tumpuan pada proses kehamilan yang semakin membesar.
Selain itu, Fasha dan suami sudah mempunyai pilihan nama anak mereka kelak tetapi perkara itu hanya akan didedahkan pada saat kelahiran bayi itu nanti.
Pada temu bual sama, Fasha yang wajahnya pernah menghiasi kaca TV menerusi drama Runtun Qalbu turut disoal apakah rahsianya kekal cantik.
“Tiada amalan petua kecantikan khusus sepanjang tempoh saya mengandung. Namun saya tak nafikan masih menjaga diet. Mengandung tak semestinya kita boleh makan apa saja untuk dua orang. Kena berpada-pada supaya ia tidak menjejaskan penampilan diri selepas bersalin kelak.
“Saya masih makan nasi tapi hanya sehari sekali saja. Selebihnya saya banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Mungkin sebab itu saya tidak mengalami penambahan berat badan yang drastik melainkan perut saja yang membesar.
“Setakat ini, alhamdulillah doktor maklumkan saya dan bayi sihat. Selain itu, saya percaya tahap emosi sekarang ini turut mempengaruhi penampilan saya sekarang.
“Saya akui cukup bahagia dengan kehidupan sebagai seorang isteri dan bakal menjadi seorang ibu. Mungkin kerana itu orang melihat wajah saya lebih berseri sekarang ini. Sebelum berkahwin, saya tidak pernah alami perasaan luar biasa seperti ini,” katanya.
Fasha berkata, dia mula mengalami perasaan sangat luar biasa setiap kali bayi di dalam perutnya bergerak-gerak lantas membuatkan dia tidak sabar-sabar melahirkannya.
Sementara itu, Fasha sudahpun disunting menjadi duta kepada dua produk terkenal. Difahamkan, tawaran yang diterimanya itu berupa produk kecantikan termasuk barangan bayi.
Sementara itu, Fasha akui ada menerima tawaran daripada pengarah handalan Osman Ali untuk membintangi filem terbaru.
“Sayang sekali Fasha terpaksa menolak tawaran itu kerana wataknya tidak sesuai dengan badan saya yang sedang hamil ini. Memang sudah lama saya teringin hendak berlakon semula di bawah arahan Osman selepas Anak Halal, namun nampaknya saya terlepas peluang itu.
“Tidak mengapa lain kali kalau ada peluang saya pasti akan menerimanya kalau watak itu sesuai,” ujarnya.
Comments
Post a Comment