Drama 'Adam & Hawa' Akan Difilemkan

Barisan pelakon dan mereka yang terlibat dalam drama bersiri Adam & Hawa

KUALA LUMPUR: Drama bersiri yang mencetuskan fenomena iaitu Adam & Hawa dijangka diterbitkan dalam versi filem tidak lama lagi.

Penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa berkata, perancangan untuk memfilemkan karya itu timbul berdasarkan penerimaan luar biasa penonton terhadap drama 80 episod itu.

"Doa-doakanlah agar Adam & Hawa mempunyai sekuel (filem) yang menjadi satu lagi fenomena selepas Ombak Rindu.

"Insya-Allah, ia ada dalam perancangan kami," katanya pada sidang media tayangan episod terakhir drama itu di GSC Gardens Mall di sini, petang Khamis.

Turut hadir adalah pengarah drama itu, Mohd Feroz Kader, penulis novel asal Aisha Sofea, Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani, Pengurus Saluran Mustika HD Natasha Razman Hashim serta para pelakon terlibat.

Bagaimanapun, ujar Zaiton, perancangan itu masih terlalu awal untuk didedahkan secara terperinci.

Zaiton Mohd Jiwa

"Tunggulah nanti. Memang kita sudah rancang tetapi masih awal lagi untuk cerita lanjut."Apa-apa pun, drama ini mendapat sambutan hebat kerana sokongan para pelakon dan skrip serta cerita yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Nizam mengakui populariti drama bersiri tersebut merupakan salah satu sebab yang melonjakkan langganan pakej Mustika bagi stesen televisyen berbayar itu.

"Kita ada banyak produk (program) yang menjadi faktor peningkatan langganan saluran premium (pakej Mustika) ini.

"Tidak dinafikan Adam & Hawa memainkan peranan penting kepada peningkatan itu," katanya.

Dibintangi antaranya Aaron Aziz, Nadiya Nisaa, Elfaeza Ul Haq, Dazrin Kamarudin dan Anzalna Nasir, drama yang mula ditayangkan pada 27 Ogos tahun lalu itu berakhir pada Khamis.

Ia disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam selama 30 minit di Astro Mustika HD (saluran 134).

Comments

Popular Posts