Vietnam, Syurga membeli-belah
PERCUTIAN tanpa rencana bersama kenalan yang ingin memulakan perniagaan kain membawa penulis ke Vietnam. Sebelum berangkat, pelbagai versi cerita yang menakutkan diberitahu oleh rakan-rakan yang pernah berkunjung di negara itu.
Sejenak memikirkan perkara itu membuatkan bulu roma menegak di seluruh tubuh badan. Bagaimanapun, keterujaan penulis untuk melihat negara yang dikenali sebagai syurga kain dalam kalangan wanita itu tidak pernah luntur.
Alhamdulillah, dengan bajet bawah RM2,000, kehidupan selama empat hari tiga malam di Vietnam umpama jutawan. Masakan tidak, pertama kali memegang duit jutaan nilainya selepas ditukar kepada mata wang Vietnam Dong (VND).
Walapun jumlah wang tunai sebanyak VND12,875.667 terselit dalam dompet penulis, setiap kali tiba waktu makan, dilema berjimat-cermat pasti menghantui diri.
Makanan halal
Agak sukar untuk mencari sumber makanan halal di Vietnam. Bagi satu set makanan tengah hari lazimnya mencecah RM20.
Sehinggakan penulis terpaksa mengubah corak pemakanan iaitu sehari sekali sahaja di gerai mi sup berdekatan Hotel Hoang Hai Long yang menjadi tempat penginapan penulis sepanjang berada di Vietnam.
Jika kebanyakan pelancong sudah mula sibuk pada hari pertama berjalan di lokasi percutian, lain kisahnya bagi penulis dan rakan-rakan.
Kami sekadar menghabiskan masa di sekitar hotel yang secara kebetulan berdekatan dengan Pasar Ben Thanh. Suasana di dalam pasar berkenaan terlalu gamat dengan suara peniaga mempromosikan barangan masing-masing.
Malah ada peniaga dengan selamba menarik tangan pelanggan semata-mata mahu menjual produk mereka. Perasaan tidak selesa mula menghantui diri.
Namun, mereka bijak memujuk pelanggan sehingga barangan mereka dijual. Ada sahaja bahasa manis yang digunakan. Majoriti peniaga di situ adalah dalam kalangan wanita.
Membeli-belah di sekitar Pasar Ben Thanh umpama perang saraf antara peniaga dan pelanggan. Lazimnya, harga yang diletakkan sangat tinggi, tetapi jika bijak bermain kata-kata, anda mampu membeli sepasang telekung pada harga RM25 iaitu separuh daripada harga asal.
Terdapat juga peniaga yang fasih berbahasa Melayu, bagaimanapun kebanyakan sesi membeli-belah penulis dan rakan-rakan menggunakan kalkulator sebagai alat komunikasi utama.
Caranya mudah. Pilih barang yang anda minat kemudian nyatakan harga pada kalkulator. Sekiranya peniaga berkenaan enggan, tinggalkan gerai berkenaan dan dia pasti mengejar seterusnya bersetuju dengan harga yang ditawar.
Tetapi awas. Sekiranya persetujuan dicapai, anda perlu membeli barangan berkenaan.
Oleh kerana tujuan asal rombongan untuk mencari kain pasang, perkenalan singkat bersama seorang penduduk tempatan yang juga pemandu pelancong membawa kami ke pelbagai lokasi kilang kain di sekitar Ho Chi Minh.
Borong
Setiap kilang ini hanya menjual kain dengan konsep borong. Terdapat juga baju kurung yang dijual serendah RM50 dengan pelbagai hiasan manik.
Lazimnya harga baju seperti itu di Malaysia dijual sehingga RM200 atau lebih. Bayangkan sepasang kain kapas berkualiti hanya berharga RM25 sahaja.
Sepanjang melawat di kilang tersebut, duit penulis bagaikan air yang sedang mengalir. Walaupun kebanyakan kain khas untuk wanita, tetapi pelbagai pilihan yang ada membuatkan penulis rambang mata.
Selepas menyedari duit dipoket semakin susut, kami menenangkan perasaan dengan menghirup kopi asli Vietnam.
Kami menikmati kopi tersebut menerusi peniaga kopi bermotosikal yang lalu di hadapan hotel kami menginap. Harganya RM3.50 secawan.
Hari-hari terakhir di Vietnam dihabiskan dengan melawat Terowong Cu Chi yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari bandar Ho Chi Minh.
Menurut pemandu pelancong, rangkaian terowong bawah tanah tinggalan Perang Vietnam itu sepanjang 200 km.
Sebelum terbang ke Malaysia pada pukul 8 malam mengikut waktu tempatan, kami menghabiskan masa di Muzium Perang Vietnam.
Pada pendapat penulis, Vietnam adalah lokasi percutian bagi mereka yang gemar membeli-belah.
Comments
Post a Comment