Mawar Berduri
Sungguh cantik mawar itu. Kelopaknya berseri, harum mewangi. Kembangnya mekar di taman larangan mengamit mata yang memandang. Kecantikannya mengundang kekaguman sang kumbang. Pada mawar yang indah ini, dititipkan duri tajam. Sebagai benteng pertahanan, untuk melindungi keindahannya. Agar tidak sewenangnya dipetik atau diganggu sang kumbang.
Tajamkanlah duri itu, kerana ia pagar sang mawar. Yang melindungi keindahannya dan memertabatkan nilainya. Suburkanlah duri itu dengan akhlak, iman dan takwa. Semakin tajam duri itu, semakin kuat ia menjaga kesucian sang mawar.
Jangan sesekali dibuang duri itu. Hilang duri, hilanglah pelindung, menjadikan si mawar cantik pada luaran, tetapi tiada bernilai. Sesiapa saja boleh menyentuh dan memetiknya sehingga layu sebelum sampai waktunya.
Sebaliknya, mawar berduri akan terus mekar.
Sukar untuk disentuh. Kuntumnya akan sentiasa terpelihara, tidak akan sekadar dipegang atau dipermainkan. Sehingga datang sang kumbang yang benar- benar berani menghadapi duri itu untuk memetik si mawar idaman.
Mawar berduri...... harumnya kerana ketinggian agamanya, pesonanya kerana keluhuran akhlaknya, anggunnya kerana perhiasannya.
Janganlah mengeluh kerana duri itu. Tajamnya duri itu kerana keteguhan menjaga maruah, kerana manis bicara, kerana ketinggian takwa dan kerana kekuatan iman. Jadilah bunga mawar yang indah berpagarkan duri tajam. Indah dipandang tetapi sukar dipetik.
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah adalah wanita solehah." (Hadis riwayat Muslim)
http://waazin.blogspot.com/2013/10/seindah-mawar-berduri.html
Comments
Post a Comment