Kehebatan cendekiawan ISLAM
SAINTIS barat, William Harvey sering diberi pengiktirafan rentetan penerangan yang diberikan tentang pulmonari iaitu bagaimana darah mengalir antara jantung dan paru-paru pada kurun ke-16.
Namun, tahukah kita bahawa apa yang diperkatakan Harvey telah pun digambarkan dengan tepat oleh Ibn Nafis 300 tahun lebih awal.
Merupakan seorang doktor terulung Islam pada zamannya, Ibn Nafis banyak menulis buku mengenai ilmu perubatan dan karyanya yang paling terkenal ialah buku tentang fungsi jantung dan paru-paru.
Dilahirkan pada tahun 1210 Masihi dan meninggal dunia pada 1288 Masihi, beliau merupakan individu pertama yang menerangkan struktur dan fungsi paru-paru serta peredaran darah dengan tepat.
Malah, beliau juga memberitahu tentang fungsi injap jantung dan kapilari iaitu pembuluh kecil yang menghubungkan arteri dan salur darah.
Keagungan saintis Islam
Pencapaian dan kehebatan Ibn Nafis itu merupakan sebahagian daripada input yang boleh diterokai pada Pameran Sultans Of Science (SOS) yang sedang berlangsung di Petrosains, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, SOS ialah satu pameran bergerak terbaharu yang bertemakan Penerokaan Semula Sains Islam bertarikh 700 hingga 1700 Masihi.
“Ia bertujuan untuk meraikan sumbangan cendekiawan Muslim dalam bidang sains dan teknologi terhadap kehidupan masyarakat moden hari ini.
“Pameran ini menampilkan tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina, Al-Jazari, Ibnu Haytham, Ibnu Firnas, Al-Kindi, Banu Musa, Ibnu Khaldun, Al-Zahrawi, Al-Razi, Al-Kindi dan ramai lagi. Ia merangkumi sembilan bidang utama saintifik Islam iaitu matematik dan navigasi, astronomi, perubatan, pembuatan peralatan, ciptaan dan teknologi halus, optik, kejuruteraan, seni bina serta penerbangan,” ujar Tengku Nasariah kepada Kosmo!.
Berlangsung selama enam bulan bermula 15 Disember 2012 hingga 15 Jun 2013, pameran itu sesuai dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat terutama para pengunjung yang berkeluarga.
Sempena pameran itu juga, Petrosains turut mengadakan aktiviti-aktiviti menarik seperti pertunjukan sains Stand Up iaitu fasilitator membuat persembahan dengan menggunakan anggota badan tanpa perlu sebarang alatan tambahan.
Selain itu, terdapat pertunjukan sains mini seperti Sun Dial untuk belajar mengenai jam berdasarkan cahaya matahari, Defying Gravity yang membolehkan pengunjung mengetahui tentang sifon atau hos, manakala Spicy Perfume pula memberi maklumat tentang haruman yang diperbuat daripada rempah-ratus.
Tidak ketinggalan, turut diadakan bengkel Automata Cardboard dan The Tales of Tangram & Tesselation yang menerangkan tentang kejuruteraan dan matematik. Pada setiap hujung minggu pula, Petrosains akan menganjurkan aktiviti istimewa iaitu seni tulisan kaligrafi dan lukisan henna.
Apa yang pasti, semua peralatan yang dipamerkan pada pameran itu bersifat interaktif dan boleh dicuba oleh pengunjung sekali gus merasai keseronokan terhadap ciptaan hebat cendekiawan Islam.
Menurut Tengku Nasariah, pameran bertaraf antarabangsa itu direka serta dihasilkan oleh MTE Studios, satu syarikat konsultasi yang memfokus kepada rekaan dan hiburan.
“Pameran ini berasal dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan ia telah dipamerkan di beberapa negara lain seperti Afrika Selatan, Kanada, Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand sebelum diadakan di Petrosains, Suria KLCC, Kuala Lumpur,” tambah beliau.
Apabila menerokai keseluruhan pameran itu, pengunjung akan dapati banyak penemuan, pencapaian dan penciptaan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang mengagumkan.
Boleh dikatakan usaha mereka itu membuka dan merintis laluan buat pengkaji dan saintis Barat yang secara tidak langsung memberi inspirasi kepada tercetusnya penghasilan produk berteknologi tinggi.
Ia sekali gus mengangkat dan membina ketamadunan manusia yang lebih sempurna seperti yang telah kita kecapi pada zaman ini.
Tambah ilmu
Profesor Madya Faridah Adnan mengakui, teruja apabila berpeluang mengunjungi pameran tersebut bersama anaknya baru-baru ini.
“Segala maklumat dan contoh-contoh peralatan yang dipamerkan sangat menakjubkan. Ia mampu membuka mata dan minda kita tentang kehebatan para saintis dan cendekiawan Islam dahulu kala sekali gus boleh dicontohi generasi muda masa kini.
“Kita perlu membuat perubahan dan menjalankan lebih banyak penyelidikan terutama dalam bidang sains kerana ilmu Allah ini terlalu luas untuk diterokai.
“Hakikatnya, lebih banyak kita kaji, lebih banyak yang kita tidak ketahui kerana apa yang ada di bumi dan alam cakerawala diibaratkan hanyalah setitis daripada lautan ilmu Allah,” terang Faridah yang merupakan pensyarah di Fakulti Senibina dan Perancangan Ukur, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Comments
Post a Comment