Kejayaan akan datang


Jika ditanya pada kita, apakah makanan yang paling enak di dunia ini? Pasti akan dijawab dengan pelbagai jawapan, tetapi jika ditanya pula, apakah masakan itu dapat menandingi masakan ibu masing – masing, maka pastilah jawapannya masakan ibu tiada tandingannya di dunia ini. Benar, bagi setiap individu yang diberi anugerah mempunyai ibu, tidak akan ada masakan yang akan dapat menandingi kualiti masakan ibunya.
Apa rahsianya? Jika orang tua-tua sering mereka mengaitkannya dengan keberkatan air tangan ibu atau isteri. Apakah air tangan itu seorang ibu itu mempunyai enzim khas yang dapat menambah kelazatan makanan? Atau ada tindakbalas kimia terhadap makanan pada air tangan seorang ibu, yang menyebabkan daging menjadi empuk, kuah kari dan sup ayam yang tiada bandingannya, hatta ayam goreng biasa boleh menjadi lebih sedap dari ayam goreng KFC? Wallahua’lam, mungkin kajian sains boleh dilakukan untuk membuktikan perkara tersebut.
Apa yang pasti, setiap kali ibu memasak, masakan itu diulami dengan kasih sayang, ketika si ibu memotong daging, menyiang ikan, menumis bawang, mengalir air kasih sayang seorang ibu terhadap setiap makanan yang dimasaknya, setiap masakan yang dimasak akan dipastikan bersih, secukup rasa dan akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh rasa cinta demi untuk memberi ahli keluarganya makan. Itulah rahsia keenakan masakan seorang ibu, cinta dan keinginan untuk berbakti, tiada ramuan rahsia, hanya sekeping hati yang penuh rasa cinta dan kasih sayang.
Cinta menerbitkan perasaan ghairah, dan perasaan ghairah akan menjelmakan kesungguhan dalam setiap amal perbuatan. Oleh kerana itulah, kecintaan kepada sesuatu tugasan adalah menjadi kunci kepada betapa berkualitinya hasil sesuatu tugasan itu.
Seorang pemain bolasepak yang cintakan bolasepak akan mengerahkan seluruh kemampuannya untuk menjadi pemain yang hebat, demi kecintaannya kepada sukan itu, pemain bolasepak yang bermain hanya kerana ganjaran wang, biasanya tidak akan bertahan lama dan akan mudah kehilangan motivasi. Seorang guru atau pensyarah, kecintaannya kepada dunia pendidikan akan menerbitkan keghairahan yang akan dapat dirasai oleh pelajar-pelajarnya. Begitu juga seorang penyelidik, jika penyelidikan itu dilakukan dengan penuh keghairahan, hasilnya pasti akan menakjubkan dan sudah pasti akan berbeza dengan penyelidik yang motivasinya hanya untuk kenaikan pangkat atau pengesahan jawatan sahaja. Begitulah hakikat cinta dan kualiti, Walau apa jua bidang yang diceburi dan tugasan yang dilakukan, jika tanpa rasa cinta, minat dan tanggungjawab, hasilnya pasti akan mengecewakan.
Dalam ibadah khusus, ibadah yang dilakukan tanpa hadir hati yang penuh rasa cinta akan hanya membuahkan hampa, ibadah akan hanya tinggal gerakan dan ritual tanpa roh yang mendampingi. Lebih-lebih lagi para pendakwah-pendakwah islam, tanpa cinta tidak akan hadir pengorbanan, tanpa pengorbanan, perjuangan tidak akan sampai kemana-mana.
Itulah hebatnya cinta, melalui air tangan seorang ibu, cinta itu mengalir menambah perisa dalam masakan, melalui cinta, akan mengalir semangat untuk berkorban dalam perjuangan.
Apa yang diperolehi daripada cerita yang dipaparkan di atas ini. Cuba kita perhatikan keadaan sekeliling kita pada hari ini, apa yang berlaku, kenapakah ianya berlaku… dengan cerita-cerita yang dipaparkan di atas maka disimpulkan bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah kerana hilangnya keikhlasan dalam diri setiap pendidik (maaf saya gelarkan disini pendidik kerana semua yang mengajar sebarang ilmu adalah pendidik walaupun seorang murid memberitahu bagaimana untuk mengeluarkan air dalam telinga maka murid berkenaan juga adalah guru kepada gurunya).
Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang diajarkan, diturunkan kepada pelajar secara ikhlas. Maka pelajar yang mendapat ilmu berkenaan akan menerima keberkatannya sekali berbanding ilmu yang dicurahkan dan diajar secara tidak ikhlas… sebagai contoh seorang guru yang mengajar anak muridnya tetapi tiada keikhlasan dalam dirinya dan guru berkenaan hanya mengharapkan balasan ganjaran gaji dan kenaikan pengkat semata-mata, nescaya pelajar yang menerima/ belajar ilmu berkenaan tidak mampu hidup diluar sana tanpa kawal selia. Pelajar berkenaan akan hanyut… dihanyutkan oleh keadaan yang semakin teruk.. dengan pelbagai keruntuhan rohaniah dan sosial…
Albert Einstein pernah berkata sekiranya kamu tidak mampu menjelaskan sesuatu perkara dengan cara paling ringkas kamu masih belum memahami sepenuhnya mengenai apa yang kamu usahakan/ kerjakan/ katakan… fikirkanlah… Ini Einstein yang kata dan saya katakan bahawa ilmu itu milik Allah, dan sebarang tindakan atau hakcipta sebenarnya menafikan ilmu itu milik Allah…

Comments

Popular Posts