Malaysia Hari Ini
Rakyat Malaysia pada hari ini bukan lagi seperti dulu. Dahulu mereka mudah dibuli, ditipu dan diperbodohkan.
Hari ini, apabila mereka mendapat maklumat, mereka tidak akan menerima bulat-bulat. Mereka akan semak ke sumber-sumber lain seperti media-media alternatif and di Internet.
Dalam erti kata lain, pemerintah atau bakal pemerintah di Malaysia tidak akan menikmati “kuasa” seperti era-era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.
Di zaman Dr Mahathir, pemerintah benar-benar berkuasa. Yang melawan sudah pasti akan menerima padahnya. Lihatlah apa yang berlaku kepada ahli politik pembangkang dan pimpinan NGO dalam Operasi Lalang. Beratus terpenjara.
Di akhir kekuasaan Dr Mahathir, 10 aktivis pro Reformasi ditahan dibawah ISA.
Begitu juga dengan dua pimpinan mahasiswa yang menentang penahanan 10 aktivis Reformasi tersebut, turut ditahan dibawah ISA.
Pada ketika itu juga, media-media yang bersikap kritikal terhadap pemerintah berhadapan dengan risiko ditamatkan permit penerbitan.
Itulah yang berlaku terhadap akhbar Eksklusif yang memainkan peranan dalam memberi kesedaran terhadap pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke 10.
Malaysia hari ini
Hari ini keadaan Malaysia sudah berubah. Rakyat mahukan perubahan.
Perubahan ini bukan bermakna semata-mata menggantikan parti yang memerintah, akan tetapi yang dituntut adalah perubahan struktural.
Perubahan yang dimahukan bukanlah hanya menggantikan parti yang memerintah semata-mata akan tetapi perubahan terhadap dasar-dasar yang menindas orang ramai baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Dalam erti kata lain, parti yang menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN) seperti Pakatan Rakyat (PR) juga tidak boleh memerintah secara sesuka hati.
Mereka harus membuktikan bahawa perubahan benar-benar sedang dilakukan.
Lihatlah bagaimana kerajaan Kedah pimpinan PR dikritik hebat apabila tidak melakukan apa-apa dalam kes lima pelajar yang dijatuhkan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh Kolej Universiti Insaniah, sebuah kolej dibawah kerajaan negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus-terusan menerima kritikan oleh mahasiswa dan rakyat akibat daripada keangkuhannya itu.
Pimpinan tertinggi PR terus didesak untuk menyelesaikan isu KUIN 5 oleh kerana Buku Jingga — tawaran PR kepada rakyat Malaysia jika mereka diberi peluang untuk memerintah menjanjikan pemansuhan AUKU.
Lynas
Hari Ahad, puluhan ribu rakyat Malaysia ke Kuantan, Pahang bagi membantah kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Lynas untuk membina kilang bagi memproses nadir bumi.
Walaupun TV3 pernah menyiarkan “siaran khas” bagi membersihkan imej Lynas, rakyat Malaysia tidak lagi mudah terpengaruh dengan propaganda kerajaan itu.
Perhimpunan serentak juga diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Sabah.
Rakyat Malaysia sudah faham apa itu “people power” atau kekuatan rakyat. Setelah semua saluran digunakan dan kerajaan masih berdegil untuk terus membenarkan Lynas beroperasi, maka “jalan raya” dipilih oleh rakyat.
Adalah satu perkara yang membanggakan apabila rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama sanggup turun ke jalan raya bagi menyelamatkan bumi Malaysia.
Akhirnya “benih-benih” yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang terdahulu sudah menampakkan hasil. Rakyat Malaysia kearah masyarakat Madani atau “civil society”.
Malaysia Hari Ini.
Rakyat mulai sedar bahawa merekalah yang sebenarnya berkuasa. Pemerintah atau pemimpin cuma mewakili mereka dalam sesuatu acara. Pemerintah tidak boleh membuat keputusan untuk mereka, pemerintah perlu mendengar apa yang mereka inginkan. Lihat sahaja bagaimana pelaksanaan SBPA, satu sistem saraan untuk perkhidmatan awam ditolak bulat-bulat oleh hanya kira2 600k penjawat awam. Namun disebalik penolakkan 600k ini tersembunyi terselindung kira-kira 11.57 juta rakyat yang memilih pemerintah sebagai wakil mereka. Bayangkan apa akan berlaku sekiranya permintaan 600k penjawat awam ini tidak dipenuhi atau diambil perhatian.
Sebagai seorang pemerintah yang ingin mengekalkan kedudukan sebagai pemimpin pertama negara iaitu Perdana Menteri, ini merupakan satu tamparan hebat buat dirinya kerana sebagai rakyat mereka bila-bila masa boleh membahagikan kuasa kepada individu lain sebagai pemimpin mereka sekiranya permintaan tidak dipenuhi.
Ianya bergitu berbedha dengan sepuluh tahun yang lalu dimana, sumber untuk mendapatkan maklumat terhad kepada media arus perdana. Sekarang sumber maklumat dan penolakan boleh diperolehi dihujung jari. Mereka akan menjadi lebih berani kerana mereka tidak bersendirian lagi dalam hal ini. Mereka tahu tindakan mereka ini mendapat sokongan walaupun mereka tidak mengenali siapakah yang menyokong mereka. Itulah bedhanya, maklumat tidak lagi boleh disembunyikan dari pengetahuan mereka. Setiap maklumat yang mereka terima akan dianalisa dibincangkan secara terbuka dan sekiranya sesuatu maklumat disembunyikan dari mereka, mereka akan berpandangan bahawa mesti ada sesuatu yang tidak baik disebalik penutupan maklumat berkenaan.
Hari ini juga kita lihat dimana-mana negara didunia, kuasa pemerintah diktator ditumbangkan kerana perkembangan kemajuan teknologi komunikasi maklumat yang membolehkan sesuatu perancangan dan penolakan terhadap kepimpinan pemerintah dilakukan secara lebih cepat tepat dan mendapat sokongan. Peratusan kejayaan dalam menumbangkan seseorang pemimpin diktator begitu tinggi.
Comments
Post a Comment