Pemilihan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Malaysia bukanlah kerajaan beraja yang mutlak ataupun yang turun-temurun tetapi Malaysia mempunyai Raja bergelar Yang di-Pertuan Agong yang bersemayam selama 5 tahun, mengikut satu sistem yang unik di dunia. Baginda dipilih oleh Majlis Raja-raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Ciri-ciri kelayakan seorang Raja untuk dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai Yang di-Pertuan Agong:-
  • Hanya Raja-raja sahaja yang boleh dipilih selepas Raja itu memberi perkenan untuk dipilih;
  • Hanya Raja-raja sahaja yang boleh mengundi;
  • Sekiranya seorang Raja tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan, Seorang Raja lain hendaklah dilantik oleh Raja itu dan layak mengundi sebagai “proksi”;
  • Pada kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih. Peraturan ini tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pusingan ini berakhir selepas Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX;
  • Selepas itu senarai baru yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula dan digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong Pertama hingga Kesembilan) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan memperuntukkan bahawa seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali:-
  • Raja itu belum dewasa;
  • Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda tidak berhasrat dipilih; atau
  • Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima orang Raja.
Catitan
Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Langkah-Langkah Awal Sebelum Pemilihan
  • Mendapatkan perkenan tarikh Mesyuarat Pemilihan;
  • Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu; dan
  • Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Prosiding Pemilihan
Apabila Majlis Raja-raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri tidak hadir walaupun mereka anggota Majlis. Pemilihan dibuat secara undi sulit dan Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama. Kemudiannya dimasukkan dalam peti undi. Kertas undi dimusnahkan di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan. (Dibakar/dirincih)

Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama - sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja - raja. Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya Raja - raja, Penyimpan Mohor Besar Raja - raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja - raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.

Proses Pemilihan
Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda. Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi. Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun. (Contoh Kertas Undi bagi Pemilihan Yang di-Pertuan Agong)

Comments

Popular Posts