Simpanan
Bukan niat di hati untuk bermegah dengan simpanan yang ada, tapi untuk sama-sama berpesan sesama insan. Tanggungjawab yang dipikul bukannya ringan, tak juga mudah untuk digalas. Berapa banyakkah simpanan anda sempena menjelang usia emas (insyaAllah dipanjangkan usia dimurahkan rezeki).
Sebagai seorang manusia kita melalui beberapa peringkat umur yang dikategorikan sebagai bayi (0 – 3 atau 4 tahun), kanak-kanak (mumayyiz: 3 atau 4 tahun hingga baligh) remaja (baligh – 25 tahun), dewasa ( 25 – 45/55/56/60 tahun), dan usia emas (lebih dari 60 tahun: dikatakan juga sebagai umur subsidi).
Sewaktu berada diperingkat bayi, kita tidak peka dengan keadaan sekeliling dan tidak pernah peduli dengan apa yang berlaku dan menimpa diri, apa yang kita tahu cuma makan, minum, tidur, bermain dan buang air. Tidak pernah memikirkan bagaimanakah rasa makanan itu sedapkah, tidak sedapkah cuma boleh mengenyangkan perut sahaja. Kita juga tidak meminta untuk diberikan pakaian, permainan dan hiburan cuma apa yang berlaku sekarang ini, ibu dan bapa yang berlebih-lebih untuk melihat bayi mereka kelihatan comel. Bukannya mereka pinta apa yang hendak dipakai, mereka masih belum ada kehendak dalam diri mereka.
Kanak-kanak; pada peringkat ini, individu atau insan itu lebih cerdik dan mula pandai untuk menilai persekitaran mereka, namun masih belum mampu untuk membuat keputusan tentang pa yang hendak mereka makan, pakai dan sebagainya. Pada peringkat ini, kanak-kanak mula belajar apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan. Setiap perkara ada had dan batasannya. Sebagai ibubapa, kita seharusnya mendidik mereka ini mendorong kepada minat dan kebolehan terpendam mereka. Pada tahap ini juga keyakinan diri perlu dipupuk supaya mereka lebih yakin untuk berdepan dengan masyarakat di kemudian hari kelak.
Remaja merupakan zaman untuk bersukaria bagi setiap individu, sebagai ibu bapa inilah masa terbaik untuk mendidik dan mendisiplinkan diri mereka supaya mereka tidak lalai. Individu pada tahap ini mampu untuk berfikir dan bertindak. Teguran dan nasihat yang diberikan haruslah berhemah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putusm tepung tidak berselerak. Ibu dan bapa hendaklah menjadi kawan. Janganlah memarahi mereka dikhalayak ramai kerana mereka sudah ada perasaan malu dan segan. Jangan sesekali membuat keputusan bagi mereka biarkan mereka membuat keputusan mereka, sebagai ibu bapa kita hendaklah memberikan petunjuk (hint) mengenai apa yang akan berlaku di atsa setiap keputusan yang dibuat. Biarkan mereka membuat keputusan tanpa ada halangan dan bantahan cuma didasari dengan klu-klu dan risiko terhadap setiap keputusan.
Setelah meningkat usia dewasa, kita hendaklah membuat keputusan dan bertanggungjawab diatas setiap keputusan yang kita ambil. Jika buruk keputusan yang diambil, buruklah balasannya yang akan kita terima. Apa yang kita berikan akan kita rasainya. Setiap keputusan yang dibuat adalah penentu kepada akibat yang akan kita terima.
Setelah berakhir usia dewasa kita akan memasuki tahap usia emas dimana, kita akan mula mendapat balasan di atas setiap keputusan yang telah kita buat dan ambil sewaktu dewasa. Jika banyak pelaburan yang kita laburkan maka, banyaklah keuntungannya, jika sedikit maka sedikitlah untungnya dan sekiranya kita tidak beringat sewaktu dewasa inilah waktunya kita menerima padahnya.
Setelah berakhir usia emas kita akan memasuki usia pra-kematian dimana segala pinjaman yang Allah berikan kepada kita mula ditarik balik-sedikit demi sedikit. 7 sifat Allah yang dipinjamkan kepada kita mula hilang dan beransur meninggalkan kita sehinggalah kita memasuki usia nyanyuk yang mana kita kembali kepada perangai kanak-kanak dan bayi secara berperingkat.
Pada usia nyanyuk pula, kita memerlukan perhatian dan belaian anak-anak kita. Kita mengharapkan agar mereka menilai kita seperti mana kita membelai dan menjaga mereka sewaktu kecil dahulu.
Semoga, coretan ini menjadikan kita sebagai seorang manusia yang tidak alpha dan lalai dalam menjalani kehidupan kita. Senantiasalah beringat dan berdoa agar sewaktu usia emas kita adalah seperti yang kita impikan dahulu. Saat dimana kita ingin bersenang lenang dengan setiap apa yang telah kita kerjakan dan usahakn sewaktu dewasa.
Semakin banyak simpanan kita semakin senanglah usia emas kita, jika tidak bersedialah untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang lebih dasyat dan buruk tidak seperti yang kita idamkan.
Hidup ini umpama roda, berputar dan terus berputar sehinggalah mencukupi putarannya dan pengakhirannya adalah kematian iaitu satu janji yang nyata cuma masa, tempat dan bagaimana sahaja yang membezakan kematian kita,
Comments
Post a Comment